Jumaat, 30 Julai 2010

Bulan Bahasa

Walaupun Bulan Bahasa sudah berakhir, namun saya tidak akan berhenti menggunakan Bahasa Melayu. Saya suka bahasa dan budaya Melayu. Aktiviti-aktiviti yang diadakan dalam kelas Bahasa Melayu telah membuat saya lebih sedar akan keindahan Bahasa Melayu. Saya berasa seronok dapat mencuba pelbagai permainan dan makanan tradisional, berdrama dan juga melukis batik. Saya juga kini tahu apa itu pantun, puisi dan syair.
Aktiviti yang dijalankan telah membuat Bahasa Melayu saya lebih baik. Kosa kata saya juga semakin meningkat. Saya akan terus cuba berbahasa Melayu dengan baik.
Saya telah mencipta serangkap pantun yang bertemakan Indahnya Bahasa Melayu.
Inilah pantun ciptaan saya:
Bulan ini bulan bahasa
Jangan kita memandang rendah
Sentiasa kita mengingatinya
Bahasa Melayu bahasa yang indah
Ya kawan-kawan, marilah kita sama-sama cuba berbahasa Melayu dengan baik.

Khamis, 29 Julai 2010

Permainan Tradisional

Saya dan rakan-rakan saya telah diberi peluang bermain dengan permainan tradisional. Cikgu menyediakan beberapa stesen untuk kami mencuba. Terdapat stesen congkak, batu seremban, gasing dan capteh. Di setiap stesen, kami ditugaskan menyenaraikan kosa-kata yang dikaitkan dengan permainan-permainan itu. Selepas itu, saya membuat penyampaian melalui 'Photostory' mengenai permainan tradisional.



Saya berasa sangat seronok dapat bermain dengan permainan-permainan ini.





Selasa, 27 Julai 2010

Hang Nadim

Cikgu kata pantun atau puisi boleh disampaikan dalam lagu. Cikgu memainkan lagu 'Singapura Dilanggar Todak'. Kami sudah mengetahui tentang zaman Singapura diserang todak. Cikgu menerangkan bahawa lagu itu ialah satu cara cerita Hang Nadim boleh disampaikan.

Kami menyanyikan lagu itu bersama-sama. Sungguh menarik lagu itu. Saya rasa seperti mahu menari.

Cikgu memilih Qayyum dan Khairul untuk sampaikan cerita Hang Nadim. Cikgu menyuruh Qayyum menggunakan tamborin dan Khairul pula memukul kompang.

Pada mulanya, mereka tidak pandai menyanyi. Lama-lama mereka dapat bercerita dengan baik sekali.


Jumaat, 23 Julai 2010

Drama "Tentu Sekali Tidak"

Dalam satu aktiviti kelas Bahasa Melayu, kami diajak berlakon. Saya dan kawan-kawan telah berlakon dalam satu drama bertajuk 'Tentu Sekali Tidak'. Kami berlakon dalam bilik 'Skrin Hijau'. Bilik itu hanya ada skrin hijau tetapi apabila ditonton dalam video, terdapat latarbelakang hutan. Saya berlakon sebagai seekor itik. Saya dan kawan-kawan berlatih selama dua hari sebelum melakonkan watak di dalam bilik 'Skrin Hijau'.



Lihatlah video ini. Lakonan saya ada di dalam. Seronok sekali berlakon bersama kawan-kawan


Rabu, 21 Julai 2010

Hari Keharmonian Kaum

Pada Hari Keharmonian Kaum, cikgu telah membacakan kami sebuah buku besar mengenai sambutan hari itu. Kini saya lebih memahami apa maksud Hari Keharmonian kaum.
Saya harus menghormati budaya kaum lain. Walaupun kami berlainan kaum, budaya dan bangsa, kami semua tetap mempunyai perasaan.

Pada hari itu, pelbagai aktiviti diadakan. Antara aktiviti yang ada termasuklah belajar cara membuat epok-epok dan juga menganyam ketupat.




Saya juga belajar membuat kuih bulan dan muruku. Saya berasa seronok dapat mencuba pelbagai jenis makanan juga.














Kawan saya mencuba membuat 'dumpling'. Rupanya macam epok-epok. Cuma, ia bukan digoreng tetapi direbus dalam air panas.



Kawan saya ini cuba membuat murukku. Dia meletakkan tepung yang sudah diadun ke dalam alat membuat murukku.

Seronok sekali dapat mencuba pelbagai makanan tradisional budaya lain pada hari itu.

Isnin, 19 Julai 2010

Permainan Tradisional 'Mencari Cucu'

Minggu lalu, saya dan kawan-kawan saya bermain permainan tradisional. Nama permainannya ialah 'Mencari Cucu'. Pertama, salah seorang murid harus memakai pelitup mata dan menjadi 'nenek'. Kedua, sekumpulan murid harus membuat bulatan dan menyanyikan lagu ini:


'Nenek-nenek si bongkok tiga
siang mengantuk malam berjaga
mencari cucu di mana berada
nenekku kahwin dengan anak raja'
Selepas menyanyi, 'cucu-cucu' akan duduk dan diamkan sendiri. 'Nenek' pula akan nyanyi lagu ini:
'Cucu-cucu tak dapat lari
nenek tua banyak sakti
sekarang nenek hendak cari ganti
siapa yang kena dia menjadi'
Kemudian 'nenek' mesti raba-raba rambut dan muka cucu-cucunya. 'Nenek' mesti teka siapa cucu yang dipegannya itu. Jika 'nenek' berjaya meneka 'cucu' dengan betul, maka 'cucu' itu pula harus menjadi 'nenek'.
Untuk lihat bagaimana ia dimainkan, lihatlah video ini:



Seronok sekali dapat bermain permainan tradisional ini. Cubalah kawan-kawan.

Ahad, 18 Julai 2010

Silat

Dalam satu aktiviti Bahasa Melayu, satu sesi Silat telah diadakan. Saya dan kawan-kawan telah diberi peluang untuk mempelajari teknik Silat dan juga menemuramah jurulatih Silat. Sebelum sesi ini dijalankan, kami harus membuat beberapa soalan untuk ditanyakan kepada jurulatih silat itu. Kami dikehendaki menggunakan Kata Tanya yang sesuai semasa membuat soalan. Soalan-soalan yang dibuat pula haruslah sesuai untuk ditanya kepada jurulatih silat itu.

Jurulatih silat yang datang pada hari itu ialah Encik Kadir dan Encik Imran. Mereka ialah pesilat yang terkenal di Singapura. Mereka telah memenangi banyak pingat untuk negara. Saya berasa teruja untuk menemuramah meraka.


Melalui sesi ini saya harus membuat powerpoint untuk merakamkan temu ramah saya dengan Encik Kadir. Saya amat bangga sekali dapat bertemu dengan mereka dan menjalani sesi silat bersama mereka.


Khamis, 15 Julai 2010

Batik

Minggu lalu, saya dan kawan-kawan telah menghadiri sesi membuat batik. Kami berasa seronok sekali. Jurulatih batik yang mengajar kami bernama Encik Ika Sarkasi. Dia merupakan anak Encik Sarkasi Said. Kata cikgu, Sarkasi Said ialah pelukis batik yang terkenal di Singapura.

Mula-mula, Encik Ika menunjukkan kami cara melukis batik dengan menggunakan parafin dan canting. Canting yang berisi parafin itu digunakan untuk mengikut lakaran lukisan yang telah dibuat dengan pensel dahulu.


Setelah itu, dia menunjukkan cara mewarnakan lukisan menggunakan berus dan cat warna. Saya dan kawan-kawan kemudian diberi peluang untuk melukis batik. Saya menggunakan pelbagai warna untuk mewarnakan bunga saya. Saya sukakan lukisan yang berwarna-warni.

Selesai mewarnakannya, lukisan itu dikeringkan. Saya berasa seronok dan gembira sekali melihat hasil lukisan batik saya dan kawan-kawan. Kami berasa teruja melihat lukisan masing-masing.
Setelah itu, cikgu menyuruh kami menulis sebuah karangan mengenai pengalaman kami melukis batik. Kami menggunakan 'Wordle' untuk mengumpulkan perkataan-perkataan yang berkait dengan batik sebelum kami menulis karangan.







Khamis, 8 Julai 2010

Pantun dalam ucapan

Cikgu kata pantun akan membuat ucapan kita lebih menarik. Cikgu juga telah mengajar saya dan kawan-kawan bagaimana hendak membuat pantun. Kami telah menyanyikan lagu Rasa Sayang Eh. Di dalam lagu ini ada pantun nasihat. Kumpulan saya telah mencuba mencipta satu pantun.
Inilah pantun kami:
Berjalan jangan berlari-lari
Terutama sekali hari hujan
Pergi ke sekolah setiap hari
Agar bijak dan pandai di masa hapadan
Kemudian, kami menyanyikan lagu Rasa Sayang Eh sekali lagi. Kali ini, kami menggantikan pantun Rasa Sayang dengan pantun ciptaan kami ini. Seronok sekali.

Jumaat, 2 Julai 2010

Kempen Bahasa Melayu

Bulan Bahasa telah dilancarkan pada 26 Jun hingga 25 Julai 2010.

Bertemakan cogan kata: Bahasa Melayu. Gunakanlah


Cogan ini memberitahu kita tentang perlunya meneruskan penggunaan Bahasa Melayu yang baik. Ini adalah kerana kebanyakan orang Melayu lebih selesa bertutur dalam Bahasa Inggeris dan akibatnya penuturan Bahasa Melayu mereka tidak begitu fasih. Seperti bak pepatah Melayu:


Bahasa Melambangkan Bangsa
Jika kita tidak menggunakan Bahasa Melayu, maka pupuslah bangsa kita.

Khamis, 1 Julai 2010

Salam Perkenalan

Nama saya ialah Nurliyana Bte Khairolanuar. Saya berusia 9 tahun. Saya bersekolah di Sekolah Rendah Beacon. Kegemaran saya ialah menonton televisyen, bermain komputer, melukis, bermain badminton dan bersiar-siar di taman/pantai.

Pada pendapat saya, Bahasa Melayu adalah bahasa yang halus dan indah. Ia mencerminkan sifat kemelayuan yang lembut, berbudi pekerti dan berhemah tinggi. Saya bangga menjadi orang Melayu dan saya akan terus mencuba berbahasa Melayu dengan baik. Itu janji saya kepada diri dan guru.