Khamis, 15 Julai 2010

Batik

Minggu lalu, saya dan kawan-kawan telah menghadiri sesi membuat batik. Kami berasa seronok sekali. Jurulatih batik yang mengajar kami bernama Encik Ika Sarkasi. Dia merupakan anak Encik Sarkasi Said. Kata cikgu, Sarkasi Said ialah pelukis batik yang terkenal di Singapura.

Mula-mula, Encik Ika menunjukkan kami cara melukis batik dengan menggunakan parafin dan canting. Canting yang berisi parafin itu digunakan untuk mengikut lakaran lukisan yang telah dibuat dengan pensel dahulu.


Setelah itu, dia menunjukkan cara mewarnakan lukisan menggunakan berus dan cat warna. Saya dan kawan-kawan kemudian diberi peluang untuk melukis batik. Saya menggunakan pelbagai warna untuk mewarnakan bunga saya. Saya sukakan lukisan yang berwarna-warni.

Selesai mewarnakannya, lukisan itu dikeringkan. Saya berasa seronok dan gembira sekali melihat hasil lukisan batik saya dan kawan-kawan. Kami berasa teruja melihat lukisan masing-masing.
Setelah itu, cikgu menyuruh kami menulis sebuah karangan mengenai pengalaman kami melukis batik. Kami menggunakan 'Wordle' untuk mengumpulkan perkataan-perkataan yang berkait dengan batik sebelum kami menulis karangan.







Khamis, 8 Julai 2010

Pantun dalam ucapan

Cikgu kata pantun akan membuat ucapan kita lebih menarik. Cikgu juga telah mengajar saya dan kawan-kawan bagaimana hendak membuat pantun. Kami telah menyanyikan lagu Rasa Sayang Eh. Di dalam lagu ini ada pantun nasihat. Kumpulan saya telah mencuba mencipta satu pantun.
Inilah pantun kami:
Berjalan jangan berlari-lari
Terutama sekali hari hujan
Pergi ke sekolah setiap hari
Agar bijak dan pandai di masa hapadan
Kemudian, kami menyanyikan lagu Rasa Sayang Eh sekali lagi. Kali ini, kami menggantikan pantun Rasa Sayang dengan pantun ciptaan kami ini. Seronok sekali.

Jumaat, 2 Julai 2010

Kempen Bahasa Melayu

Bulan Bahasa telah dilancarkan pada 26 Jun hingga 25 Julai 2010.

Bertemakan cogan kata: Bahasa Melayu. Gunakanlah


Cogan ini memberitahu kita tentang perlunya meneruskan penggunaan Bahasa Melayu yang baik. Ini adalah kerana kebanyakan orang Melayu lebih selesa bertutur dalam Bahasa Inggeris dan akibatnya penuturan Bahasa Melayu mereka tidak begitu fasih. Seperti bak pepatah Melayu:


Bahasa Melambangkan Bangsa
Jika kita tidak menggunakan Bahasa Melayu, maka pupuslah bangsa kita.

Khamis, 1 Julai 2010

Salam Perkenalan

Nama saya ialah Nurliyana Bte Khairolanuar. Saya berusia 9 tahun. Saya bersekolah di Sekolah Rendah Beacon. Kegemaran saya ialah menonton televisyen, bermain komputer, melukis, bermain badminton dan bersiar-siar di taman/pantai.

Pada pendapat saya, Bahasa Melayu adalah bahasa yang halus dan indah. Ia mencerminkan sifat kemelayuan yang lembut, berbudi pekerti dan berhemah tinggi. Saya bangga menjadi orang Melayu dan saya akan terus mencuba berbahasa Melayu dengan baik. Itu janji saya kepada diri dan guru.